Niat
Setiap ibadah hendaklah dimulai dengan niat. Jika seseorang itu tidak berniat sama ada sengaja atau terlupa umrahnya menjadi tidak sah. Berniat umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa. Berikut ialah lafaz niat umrah:
Ertinya : “Sahaja aku berniat umrah dan berihram aku untuk melaksanakannya kerana Allah Ta’ala.”
Tempat Miqat Haji Dan Umrah
Miqat bermaksud ketentuan tempat atau masa untuk berniat ihram haji atau umrah. Miqat pula terbahagi kepada dua iaitu :
- Miqat Zamani
- Ketentuan masa untuk melakukan umrah ialah sepanjang tahun iaitu selain dari masa seseorang itu berihram haji. Miqat masa untuk menunaikan haji pula ialah dari 1 haribulan Syawal hingga terbit fajar hari yang ke-10 Zulhijjah. Tempoh inilah dikenali sebagai bulan-bulan haji.
- Miqat Makani
- sempadan terakhir tempat bagi berniat ihram umrah atau haji adalah mengikut daripada mana seseorang itu datang memasuki Tanah Haram Makkah bagi penduduk di luar kota Makkah.
Apabila sudah jelas tentang niat dan maksud miqat, mari lihat tempat miqat untuk menjatuhkan niat ihram. Persoalannya, bagaimana untuk niat ihram?
NIAT BERIHRAM
Tempat Miqat Umrah dan Haji
- Bir Ali disebut juga Zulhulaifah, letaknya sekitar 12 km dari Madinah, merupakan miqat bagi orang yang datang dari arah Madinah.
- Al-Juhfah, suatu tempat yang terletak antara Mekah dan Madinah, sekitar 187 km dari Mekah, dan merupakan miqat bagi jemaah yang datang dari Syam (Syria), Mesir dan Mahgribi atau yang searah. Setelah hilangnya ciri – ciri Al-juhfah, miqat ini diganti dengan miqat lainnya iaitu Rabigh, yang berjarak 204 km dari Mekah.
- Zatu Irqin, suatu tempat Miqat yang terletak di sebelah utara Mekah, berjarak 94 km dari Mekah, merupakan miqat bagi jemaah dari Iraq dan yang searah.
- Qarnul Manazil, sebuah bukit di sebelah Timur 94 km dari Mekah atau lebih kurang setengah jam perjalanan sebelum kapal terbang mendarat di Jeddah (jika menaiki kapal terbang). Selalunya ia diumumkan dalam kapal terbang.Jemaah biasanya akan memakai awal-awal sejak dari rumah sebelum menaiki kapal terbang.Miqat ini adalah untuk jemaah yang terus ke Mekah setelah mendarat di Jeddah.
- Yalamlam, sebuah bukit di sebelah selatan 54 km dari Mekah, merupakan miqat bagi jemaah yang datang dari arah Yaman dan Asia (jemaah asia yang datang menaiki kapal).
Tempat Miqat Jemaah Asia (Malaysia)
Bagi jemaah Malaysia yang berangkat dari Kuala Lumpur ke Madinah terlebih dahulu kemudian baru memasuki Makkah, maka miqatnya adalah sama dengan miqat penduduk Madinah iaitu di Bir Ali.
Bagi jemaah Malaysia pula yang terus ke Mekkah, maka sempadan yang terakhir untuk berniat ihram ialah di ruang angkasa Qarnul Manazil iaitu kira-kira satu jam sebelum kapal terbang mendarat di Jeddah. Sebab itulah para jemaah dinasihatkan memakai ihram di KLIA dibimbangi sukar untuk menukar ihram apabila berada dalam pesawat.
Setelah berada di Makkah, para jemaah boleh melakukan umrah yang seterusnya dengan berniat ihram di miqat yang berdekatan dengan Tanah Haram.
Berikut adalah tempat Miqat yang berdekatan dengan Tanah Haram :
- Tan’aim
- Tempat Miqat isteri Nabi iaitu Saiditina Aisyah. Tempat ini adalah paling dekat dengan Makkah.
- Ja’ranah
- Tempat Miqat Rasulullah s.a.w.
- Hudaibiyyah (syumaisi)
- Tempat perundingan Nabi bersama orang Quraisy Makkah dan terhasilnya Perjanjian Hudaibiyyah.
- Di Arafah dan dimana-mana kawasan tanah halal.
Tags: #miqat #niat umrah #tempat miqat #umrah