بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ , وَالعَاقِبَة لِلْمُتَّقِيْنَ وَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ
Ya Allah , Ya Karim Ya Wadud ,
Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu pemeliharaan dan keamanan dalam memasuki bulan Ramadan yang akan menjelang tidak lama lagi.
Bersempena Majlis Sambutan Ihya Ramadan pada kali ini, kami menadah tangan dengan penuh pengharapan dan rendah diri agar kami dikurniakan kesihatan dan kekuatan, jiwa yang tenang dan tenteram. Hiasilah hati kami dengan sifat syukur, redha, sabar, ikhlas, amanah dan bertanggungjawab, tekad dan azam yang tinggi untuk terus berjaya serta dapat menjalankan tugas sebagai hamba-Mu ya Allah.
Ya Allah, Yang Maha Esa Lagi Maha Perkasa
Ya Allah, bantulah kami dalam menjalankan urusan agama kami, elokkanlah urusan dunia kami, yang padanya tempat kami mencari kehidupan. Elokkanlah urusan akhirat kami, yang padanya tempat kami akan kembali untuk selama-lamanya. Jadikanlah kehidupan kami ini sebagai tambahan segala kebaikan kepada kami, dan jadikanlah kematian kami sebagai ketenangan kepada kami dari segala kejahatan. Sesungguhnya kami ingin kembali kepada-Mu dengan jiwa yang tenang.
Ya Allah, berkatilah kami, rahmatilah kami dan tekunkanlah kami dalam melaksanakan ibadah puasa Ramadan yang bakal tiba nanti. Perbaikilah segala keadaan dan akhlak kami serta segala amal kami dalam berpuasa Ramadan. Panjangkanlah usia kami dengan keberkatan Ramadan. Perbaikilah akhlak kami dengan ketibaan Ramadan. Jadikanlah puasa kami mengikut segala puasa yang dilakukan oleh Nabi kami, Nabi Muhammad S.A.W.
Ya Allah, Ya Fattahu Ya Alim,
Ya Allah, pertemukanlah kami dengan Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi. Kurniakanlah kepada kami rezeki yang halal lagi diberkati, kekuatan dan kesabaran dalam menempuh dugaan di sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan, penuh kerahmatan dan penuh keampunan itu nanti. Moga-moga nanti kami berpeluang melaksanakan ibadah dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan bagi merebut seribu ganjaran yang telah engkau janjikan.
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim,
Engkau suburkan jiwa kami dengan cinta dan kasih kepada junjungan besar Rasulullah s.a.w. Engkau himpunkan kami bersama dengan Baginda Nabi di padang Mahsyar nnti dan dapat minum air telaga alkauthar.
Ya Allah , jadikanlah perhimpunan kami ini sebagai perhimpunan yang diberkati dan dirahmati . Dan jadikanlah perpisahan kami selepas ini sebagai perpisahan yang Engkau pelihara daripada bahaya dan keburukan.
اَللَّهُمَّ اجْعَلْ جَمْعَنَا هَذَا جَمْعًا مَرْحُوْمًا ، وَتَفَرُّقَـَنَا مِنْ بَعْدِهِ تَفَرُّقاً مَعْصُوْمًا ، وَلاَ تَجْعَلِ اللَّهُمَّ فِيْنَا وَلاَ مَعَنَا وَلاَ مَنْ يَتْبَعُنَا شَقِيًّا وَلاَ مَطْرُوْدًا وَلاَ مَحْرُوْمًا .
رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَة ً وَفِي الأخِرَةِ حَسَنَة ًوَقِنَا عَذَابَ النَّار ِ
وَصَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ ، وَالْحَمْدُلِلَّهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ
Tags: #Majlis Perasmian Ihya Ramadhan #Panitia Pendidikan Islam #Teks Doa