Tawaf ; Syarat Sah, Larangan Ketika Tawaf Dan Jenis Tawaf

223141 832997931499779590

Rukun wajib bagi ibadat Umrah adalah

  1. Niat
  2. Tawaf
  3. Sa’ie
  4. Tahallul (bercukur dan bergunting)
  5. Tertib

Tawaf adalah salah satu rukun yang sangat penting dalam ibadat umrah. Sekiranya ia tidak dilaksanakan mengikut syarat-syarat yang telah digariskan, ia menjadi tidak sah dan justeru itu Sai’e, iaitu rukun yang berikutnya juga akan menjadi tidak sah.

Tawaf bermaksud mengelilingi kaabah sebanyak tujuh pusingan bermula dari hajarul aswad dan berakhir pada tempat yang sama dengan syarat-syaratnya.

Pada jemaah yang pertama kali menunaikan tawaf, ada kaedah tertentu yang boleh membantu anda mengira pusingan tawaf dan tempat bermula pusingan tawaf.

  1. Apabila ingin bermula tawaf, garis mula adalah sejajar dengan Hajarul Aswad. Jika terlalu ramai jemaah sehingga tak dapat melihat Hajarul Aswad, atau tawaf di bahagian tingkat atas, anda boleh melihat pada lampu hijau berada disetiap tingkat supaya memudahkan para jemaah memulakan pusingan.
  2. Untuk mengira jumlah pusingan tawaf, anda dinasihatkan menggunakan tasbih agar anda tidak was-was akan jumlah pusingan yang telah dilakukan. Jika anda was-was, anda perlu lebihkan pusingan.
  3. Mohon daripada Allah sentiasa agar anda dapat tunaikan ibadah tawaf dengan mudah.

Tawaf haji dikenali sebagai tawaf ifadhah. Waktu untuk melakukan tawaf bermula dengan berlalunya separuh malam 10 Zulhijjah. Waktu afdal melakukannya pula adalah pada 10 Zulhijjah setelah melontar Jamratul Kubra dan bergunting.

Bagaimana pula dengan syarat-syarat sah Tawaf?

Syarat Sah Tawaf

  1. Berniat mengelilingi Ka’abah semata-mata untuk menunaikan tawaf kerana Allah S.W.T. Lafaz niat Tawaf Umrah :
    Ertinya: “Aku berniat Tawaf Umrah di Ka’abah ini tujuh pusingan kerana Allah Taala.”
  2. Tawaf hendaklah dilakukan di luar Ka’abah tetapi di dalam Masjidil Haram. Tawaf boleh dilakukan di bahagian atas Masjidil Haram tetapi mesti dipastikan bahu sentiasa mengiringi Ka’abah.
  3. Tawaf hendaklah dilakukan sebanyak tujuh kali pusingan dengan  sempurna dan yakin.
  4. Mesti mengirikan Ka’abah sepanjang masa tawaf. Beri perhatian khusus apabila tiba di penjuru-penjuru Ka’abah.
  5. Tidak boleh menyentuh mana-mana bahagian Ka’abah termasuk  Syazarwan (bingkai Ka’abah) semasa tawaf.
  6. Tidak boleh menggunakan laluan di bawah pancur emas antara Hijr Ismail dengan Ka’abah. Kerana Hijr Ismail juga dikira sebahagian daripada binaan Kaabah.
  7. Laluan tawaf hendaklah bersih daripada najis.
  8. Tawaf hendaklah dimulai dari belakang garisan Hajarul Aswad dan diakhiri dengan melangkah garisan yang sama.
  9. Mesti suci daripada hadas kecil (berwuduk).
  10. Mesti suci daripada hadas besar.
  11. Badan dan pakaian mesti suci daripada najis.( mendukung anak lelaki yang belum berkhatan adalah diaggap membawa najis yang menyebabkan tawaf menjadi tidak sah).
  12. Mesti menutup aurat.

Oleh itu, para jemaah dinasihatkan agar mempelajari ilmu -ilmu ini agar mencapai khusyuk dan sempurna.

Di samping itu,  terdapat juga beberapa perkara yang sunat yang disarankan semasa tawaf. Sunat bermaksud melakukannya dapat pahala, tinggalkannya tidak mengapa.

Justeru itu, diantara perkara sunat ketika tawaf adalah :

  1. Berjalan kaki
  2. Berittiba’ bagi kaum lelaki dengan meletakkan bahagian tengah kain selendang di bahagian bawah ketiak kanan. Kedua bahagian penghujungnya pula di atas bahu sebelah kiri dengan bahagian bahu sebelah kanannya terbuka (bagi yang berpakaian ihram).
  3. Mengucup Hajar Aswad pada permulaan setiap pusingan tawaf. Jika sukar untuk mengucup jemaah boleh melambai dengan tangan kanan dan mengucup tangan tersebut sambil mengucapkan takbir (Bismillahi Allahuakbar).
  4. Berlari-lari anak pada pusingan pertama, kedua dan ketiga bagi tawaf yang diiringi dengan saie (lelaki sahaja).
  5. Istilam Rukun Yamani atau mengisyarat tapak tangan dari jauh disertai membaca takbir tanpa mengucup tangan.
  6. Muwalat iaitu mengelilingi kaabah sebanyak tujuh kali pusingan secara berturut-turut.
  7. Melakukan tawaf dengan tawaduk dan khusyuk.
  8. Sembahyang sunat tawaf dua rakaat di belakang Makam Ibrahim setelah selesai melakukan tawaf.
  9. Berzikir, membaca al-Quran atau membaca doa tawaf. Tiada bacaan khusus ketika tawaf. Namun, ulamak-ulamak ada menyusun bacaan-bacaannya agar mendapat khusyuk ketika tawaf.

Selain daripada mengetahui syarat sah, perkara larangan dan sunat ketika tawaf, sebaiknya mengetahui juga tentang jenis-jenis tawaf yang telah digariskan dalam Islam.

Jenis-Jenis Tawaf

Tawaf Qudum

Tawaf Qudum ialah tawaf selamat datang. Tawaf ini dilaksanakan oleh mereka yang hendak mengerjakan haji qiran dan ifrad.

Tawaf Sunat

Tawaf sunat ialah tawaf yang dikerjakan pada bila-bila masa. Selain itu tawaf tahiyatul bait atau tawaf menghormati kaabah juga termasuk dalam tawaf sunat.

Tawaf Rukun Haji

Tawaf yang mesti dilakukan oleh jemaah haji dalam sebarang keadaan, sekiranya tidak dilakukan sama ada sengaja atau tidak maka tidak sempurnalah hajinya.

Tawaf Nazar

Tawaf yang mesti ditunaikan oleh seseorang apabila ia berniat nazar pada sesuatu yang dihajatinya.

Tawaf Wada’

Tawaf Wada’ ialah tawaf selamat tinggal. Ia wajib dikerjakan bagi mereka yang hendak keluar meninggal kota Mekah lebih dari dua marhalah.

Tawaf Tahallul

Tawaf Tahallul ialah tawaf yang mesti dikerjakan oleh mereka yang telah berniat mengerjakan haji tetapi terluput atau tidak sempat berwuquf di padang Arafah. Tujuan tawaf ini ialah untuk melepaskan orang tersebut dari ihram hajinya.

Namun, setiap daripada jenis tawaf tersebut adalah syarat-syarat yang khusus. Sebagai contoh tawaf wada’. Apabila jemaah selesai melakukan tawaf wada’, anda tidak boleh lagi berlengah-lengah (ambil gambar, menoleh ke Kaabah dan lain-lain). Jemaah harus segera meninggalkan Tanah Haram.

Rukun 1

Semoga para jemaah sekalian mendapat pengampunan dan ibadah umrah atau haji yang ditunaikan diterima oleh Allah.

Putih Melati

Karya melambangkan jiwaku

More Posts - Facebook

Tags: #larangan ketika tawaf #niat tawaf #sunat ketika tawaf #syarat sah tawaf #tawaf #umrah

Solat Jemaah ; Kedudukan Seorang Makmum Wanita
SOALAN: Assalamualaikum ustaz. jika tidak mengganggu saya mohon penjelasan ustaz tentang posisi seorang
Doa Munajat Ramadhan : Versi Rumi
Doa Munajat Ramadhan Ya Allah Ya Tuhanku! Aku bertaubat kepadaMu dengan sebenar-benar taubat.
Adab Sambut Hari Raya Yang Mudah Di Ikuti
Hari Raya adalah hari kegembiraan dan hari kemenangan kepada seluruh ummat Islam kerana
4 Sifat Menghalang Ibadah Diterima Allah ; Ujub, Riak, Takabur, Sum’ah
Berhati-hati duhai sahabatku dalam kehidupan ini. Ramai manusia yang mengerjakan ibadah, namun dicampakkan

Leave a reply "Tawaf ; Syarat Sah, Larangan Ketika Tawaf Dan Jenis Tawaf"