SOALAN:
Assalamualaikum ustaz. jika tidak mengganggu saya mohon penjelasan ustaz tentang posisi seorang wanita yang jadi makmum kepada suaminya. adakah disebelah kiri suami atau kanan? biasa yang saya tengok dikiri. tapi ada kata sebelah kiri salah. mohon ustaz jelaskan mana satu yang tepat.
JAWAPAN:
1) Menurut Imam Rafi’ie di dalam karyanya ‘al-Syarh al-Kabir’:
وإن حضر معه في الابتداء رجلان أو رجل وصبى قاما خلفه صفا واحدا وانه لم يحضر معه الا الاناث يصفهن خلفه سواء الواحدة والاثنتان والثلاث فصاعدا
Maksudnya: “JIka datang dua orang lelaki kepadanya(imam) pada permulaan atau seorang lelaki dan kanak-kanak, hendaklah mereka berdiri di belakangnya(imam) dalam satu saf. Jika tidak hadir bersamanya(imam lelaki) melainkan wanita-wanita, maka hendaklah mereka berdiri dalam saf di belakangnya(imam lelaki), samaada SEORANG wanita, dua, tiga dan ke atas”.
2) Berdasarkan kenyataan Imam Rafi’ie jika seorang imam bermakmumkan seorang wanita maka kedudukan wanita itu benar-benar di belakang imam. Kenyataan ini juga dinyatakan oleh Imam Nawawi di kitab al-Majmu’ dengan menyatakan bahawa antara ciri-ciri yang membezakan antara solat lelaki dan perempuan, iaitu jika makmum seorang wanita maka kedudukannya di belakang imam lelaki, berlainan dengan lelaki yang mana kedudukan di sebelah kanan imam.
3) Menurut Imam Ibnu Hajar di dalam ‘Tuhfah al-Muhtaj’, kedudukan seorang makmum wanita adalah di belakang imam(lelaki) meskipun antara kedua-duanya ada hubungan mahram.
(وكذا لو حضر امرأة أو نسوة) فقط فتقف هي أو هن خلفه، وإن كن محارمه للاتباع.
Maksudnya: “Begitu juga jika SEORANG wanita atau ramai wanita datang, maka hendaklah SEORANG wanita atau ramai berdiri dibelakangnya(imam lelaki), meskipun mereka itu mahramnya(imam lelaki) kerana mengikut nas hadith”.
4) Malah Imam al-Ramli memberi penjelasan bahawa jika wanita menjadi makmum kepada suami maka kedudukannya juga benar-benar di belakang suaminya bukan sebelah kiri atau kanan. Hal ini dinyatakan melalui karyanya ‘Nihayah al-Muhtaj’:
(وكذا لو حضر امرأة) ولو محرما أو زوجة (أو نسوة) تقوم أو يقمن خلفه لخبر أنس السابق.
Maksudnya: “Begitu juga jika SEORANG wanita datang walaupun mahram atau isteri atau ramai wanita hendaklah SEORANG wanita atau ramai berdiri di belakangnya(imam lelaki) berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Anas yang lalu”.
5) Hadith riwayat Sayyidina Anas RA yang dimaksudkan ialah:
أَنَّ جَدَّتَهُ مُلَيْكَةَ دَعَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِطَعَامٍ صَنَعَتْهُ لَهُ فَأَكَلَ مِنْهُ ثُمَّ قَالَ قُومُوا فَلِأُصَلِّ لَكُمْ ، فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَصَفَفْتُ وَالْيَتِيمَ وَرَاءَهُ ، وَالْعَجُوزُ مِنْ وَرَائِنَا ، فَصَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ انْصَرَفَ
Maksudnya : Bahawa neneknya(Ibu Anas) yang bernama Mulaikah menjemput Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam untuk menjamu makanan yang telah dimasak oleh beliau. Lalu baginda pun memakan sebahagian makanan tersebut lalu bersabda: “Bangunlah untuk aku bersolat bersama kamu semua”. Kemudian Rasulullah S.A.W berdiri untuk solat, lalu baginda meletakkan aku dan seorang anak yatim di belakangnya, dan perempuan tua (Sayyidah Mulaikah RA) di belakang kami. Kemudian baginda solat dua rakaat bersama kami dan selepas itu baginda beredar.
6) Berdasarkan hadith di atas para ulama menyatakan bahawa kedudukan saf makmum wanita adalah di belakang imam lelaki sama ada seorang wanita atau lebih. Namun jika seorang makmum wanita berada di bahagian kiri atau kanan imam(suami atau mahram) hukumnya makruh yang mengurangkan fadilah dan pahala, tetapi solat tetap sah.
7) Jelas berdasarkan kenyataan di atas bahawa sepakat para ulama mazhab Syafi’ie bahawa kedudukan seorang makmum wanita adalah di belakang imam lelaki bukan di sebelah kanan mahupun di sebelah kiri, MESKIPUN kedua-duanya ada hubungan mahram atau suami isteri. Ini juga pendapat mazhab-mazhab fiqh yang lain. Ternyata dakwaan yang menyatakan kedudukan seorang makmum wanita berada di sebelah kiri adalah tidak tepat malah menyalahi apa yang difatwakan oleh para fuqaha dan ulama-ulama hadis.
8)) Dakwaan yang mengatakan kedudukan makmum wanita di sebelah kiri adalah mazhab drama TV3, RTM dan ASTRO sepertimana yang ditunjukkan oleh para pelakon. Hukum fiqh wajib merujuk kepada para ulama bukan pelakon dan pengarah drama.
Kredit :
Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
Tags: #hukum #kedudukan makmum #kedudukan makmum wanita #Solat Berjemaah