Penyusuan secara eksklusif merupakan langkah penting ke arah perkembangan dan pembesaran bayi yang sihat. Ini kerana susu ibu adalah bersih, segar, dan paling sesuai untuk bayi.
Susu ibu mengandungi pelbagai khasiat dalam imbangan yang betul mengikut keperluan bayi. Untuk memanfaatkan penyusuan susu ibu, ibu digalakkan memberi penyusuan secara eksklusif sepenuhnya sehingga bayi berumur 6 bulan dan diteruskan sehingga bayi berumur 2 tahun.
Maksud pemberian susu secara ekslusif sepenuhnya adalah bayi tidak diberi makanan atau minuman tambahan yang lain selain daripada susu ibu.
“Walau kebanyakan ibu sudah mengetahui khasiat yang terdapat di susu ibu, namun tidak ramai yang mampu untuk memanfaatkan susu tersebut dengan memberi alasan yang pelbagai.”
Bagi mengukuhkan dan mendorong ibu memanfaatkan susu ibu sepenuhnya kepada bayi, ibu perlu mengetahui juga kepentingan penyusuan sepenuhnya (eksklusif) sehingga 6 bulan.
Kepentingan Penyusuan Sepenuhnya (Eksklusif) Sehingga 6 Bulan
- Mengandungi Nutrien dan Zat yang cukup untuk pertumbuhan dan perkembangan bayi sehingga 6 bulan.
- Memastikan penyerapan zat besi yang optimum dari susu ibu.
- Air atau makanan pelengkap atau susu formula sebenarnya memberi kesan sampingan kepada bayi yang berusia 6 bulan kebawah. Ini kerana sistem pencernaan dan penghadaman bayi belum matang.
- Makanan pelengkap adalah makanan tambahan yang diberikan kepada bayi anda selain daripada pemberian susu ibu. Pada umur enam bulan, pemberian susu ibu sahaja tidak mencukupi. Ia perlu dilengkapkan dengan pemberian makanan pepejal). Namun, jika terlalu awal memperkenalkan makanan pelengkap kepada bayi, bayi mudah mendapat cirit-birit (diarrhea) keran enzim belum bersedia sepenuhnya untuk mencerna makanan tersebut.
- Air atau cecair lain (selain susu ibu) juga tidak digalakkan bagi bayi berumur 6 bulan kebawah. Ia boleh menghakis salutan pelindung penyakit pada sistem pencernaan. Selain itu, bayi juga boleh terdedah dengan risiko jangkitan dan alahan.
Tags: #6 bulan #penting penyusuan sepenuhnya #penyusuan eksklusif #susu ibu