Kecur air liur bila teringatkan makanan-makanan yang terdapat di negeri Kelantan Darul Naim. Salah satu yang menjadi tarikan ialah Nasi Tumpang atau lebih dikenali sebagai “Nasik Tupe” dalam kalangan orang Kelantan.

Rupa luar Nasi Tumpang

Rupa bahagian dalam Nasi Tumpang
Tekstur Nasi Tumpang seperti nasi impit, tetapi lebih lembut dan nasinya tak nampak butir nasinya. Disebut “tumpang” barangkali disebabkan nasinya dibungkus sekali dengan lauk-lauk seperti udang, telur goreng dan ditengahnya biasanya diletakkan serunding ikan atau daging. Ada juga yang diletakkan sedikit sambal. Kuah bagi Nasi Tumpang pula biasanya kuah lemak kuning, seakan kuah nasi berlauk Kelantan style.

Kuah Kuning yang dapat membuka selera
Lazimnya Nasi Tumpang diminati orang yang dah berumur dan kanak-kanak. Kini ramai je orang muda yang sukakannya.
Dibungkus berbentuk kon, menggunakan daun pisang yang sekali gus dapat meningkatkan selera yang merasainya. Dikatakan dulu nasi tumpang dijadikan bekal untuk lelaki yang bergelar nelayan yang turun ke laut untuk menangkap hasil laut.
Tempat Popular yang menjual Nasi Tumpang
Jika anda berkunjung ke Kelantan, anda boleh ke Pasar Kubang Pasu yang menjual aneka kuih-muih Original Kelantan dan pelbagai jenis Nasi Tumpang yang cukup lazat. Pasar ini berada di hujung lorong Masjid Muhammadi, Kelantan. Jangan lepaskan peluang mencuba makanan tradisi masyarakat Kelantan ini!