Menjelang Ramadhan, umat Islam difardhukan untuk menunaikan ibadah puasa bermula daripada waktu tertentu dengan syarat-syarat tertentu. Ibadah puasa merupakan rukun Islam yang ketiga dan ini amat penting bagi kita mendalami ilmu berpuasa agar puasa kita sah dari segi syarak apatah lagi puasa yang berkualiti.
Cara Menjaga Kualiti Puasa Ramadhan
Untuk menjaga kualiti puasa, seharusnya kita mengetahui serba sedikit pembelajaran tentang fiqh puasa.
Mula-mula sekali dalam pembelajaran fiqh, apa jua bab kita akan belajar takrif sesuatu itu dari segi bahasa dan syarak. Seperti juga solat, solat dari segi bahasa adalah bermakna doa sementara dari segi syarak bermakna perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang dimulai dengan takbir beserta niat dan diakhiri dengan salam dengan syarat-syarat tertentu. Demikian juga ibadah puasa ada takrif pada bahasa dan juga syarak.
Takrif Puasa Dari Segi Bahasa
Takrif puasa dari segi bahasa ialah semata-mata menahan.
Takrif Puasa Dari Segi Syarak
الامساك عن جميع المفطرات من طلوع الفجر الى غروب الشمس بنية مخصوصة
“Menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari dengan niat yang khusus”
Perkara membatalkan puasa
Perkara membatalkan puasa seperti berikut :
- Murtad
- Haid nifas dan wiladah
- Pitam dan mabuk sepanjang hari
- Bersetubuh
- Masuk sesuatu ke dalam rongga
- Onani
- Muntah dengan sengaja.
- Adapun makan dan minum sudah termasuk kategori memasukkan sesuatu ke dalam rongga.
Dalil Puasa
“Wahai orang-orang yang beriman! telah diwajibkan berpuasa ke atas kalian sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.
SURAH AL-BAQARAH:183
Sejarah Di Fardhukan Puasa
Allah Taala memfardhukan puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban, tahun kedua Hijrah. Rasulullah s.a.w sempat berpuasa sembilan kali Ramadhan sahaja. Bilangan hari kesemua 9 kali Ramadhan yang di lalui Baginda s.a.w sebanyak 29 hari (kurang 30 hari) kecuali satu Ramadhan sahaja cukup 30 hari.
Definisi Bulan Ramadhan
Bulan Ramadhan ialah bulan yang kesembilan daripada bulan-bulan Arab. Ia adalah bulan yang paling mulia. Bulan ini dinamakan Ramadhan kerana mengikut cerita, ketika orang Arab mencari nama-nama bulan, kebetulan mereka berada di suatu bulan yang sedang mengalami panas terik. Lalu mereka memberi nama bulan tersebut ‘ramadhan’ ( رمضان ) dan ia Ramadhan berasal daripada perkataan (الرمضاء) iaitu panas yang bersangatan dan pendapat lain berpendapat, orang arab menamakan bulan tersebut ‘ramadhan’ kerana bulan tersebut menghancurkan dosa (يرمض الذنوب).
Penutup
Selain daripada mengetahui tentang taarif puasa, dalil puasa dan sejarah puasa, perlu juga kita mengetahui hukum hakam puasa agar kualiti puasa lebih terjaga.
Rujukan
Ustaz Angah Sunan : Pengarang Kitab Kupasan Mudah Fiqh PUASA & IKTIKAF
Tags: #Cara Menjaga Kualiti Puasa Ramadhan #Dalil Puasa #Definisi Ramadhan #Fiqh Puasa #Hukum Hakam Puasa #Sejarah Puasa #Taarif Puasa