Ibadat haji dan umrah merupakan satu rukun daripada rukun Islam yang lima dan ianya menjadi kemuncak penzahiran ubudiyyah (pengabdian seorang hamba kepada Tuhan-Nya). Penulisan ini menceritakan tentang sejarah bagaimana ibadat umrah atau ‘Haji kecil’ ini sunat ditunaikan bagi seorang yang bergelar muslim.
Sejarah ibadat umrah bermula daripada Nabi Muhammad SAW yang ingin melakukan ibadat haji untuk kali pertama. Pada tahun ke-6 Hijrah, Baginda bersama 1500 para sahabat ingin melakukan ibadat haji di Makkah selepas mendapat mimpi apabila Baginda melihat para sahabat melakukan ibadah Haji di Makkah dalam keadaan aman dan bertahalul.
Baginda dan para sahabat lantas berangkat ke Makkah dengan berpakaian ihram dan membawa unta untuk dijadikan sebagai haiwan korban.
“Akan tetapi, perjalanan ibadat mereka tidak berhasil kerana Nabi dan para sahabat dihalang oleh kaum Quraisy di Hudaibiyah. Tempat inilah yang menjadi saksi perundingan di antara Nabi dan kaum Quraisy yang dikenali sebagai ‘Perjanjian Hudaibiyah’.”
Namun, selepas beberapa tahun termetarai ‘Perjanjian Hudaibiyah’, mimpi Rasulullah tentang umat Islam menunaikan Ibadat Haji di Makkah dapat dilaksanakan. Kota Makkah telah bebas daripada cengkaman kaun Quraisy dan umat Islam dapat menunaikan ibadat dengan aman.
Oleh itu, apakah maksud umrah ?
Maksud Umrah
Umrah dari segi bahasa ialah ziarah. Dari segi syara’ pula bermaksud menziarahi Baitullah al-Haram pada bila-bila masa untuk melaksanakan ibadat tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu.
Umrah juga dikenali sebagai ‘Haji Kecil’. Namun begitu, ada masanya kita tidak boleh menunaikan umrah iaitu masa menunaikan haji. Hukum mengerjakan umrah ialah wajib sekali seumur hidup apabila telah memenuhi syarat-syaratnya.
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud:
“Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah”.
Tags: #maksud umrah #umrah