Adab Sambut Hari Raya Yang Mudah Di Ikuti

Adv 2017062601

Hari Raya adalah hari kegembiraan dan hari kemenangan kepada seluruh ummat Islam kerana berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan. Selain daripada itu, menyambut Hari Raya adalah sebagai salah satu tanda kesyukuran kerana berjaya mengisi bulan Ramadhan dengan pelbagai amal ibadah, dan moga-moga ibadah yang dijalankan membuahkan ketaqwaan di dalam hati.

Terdapat beberapa adab yang telah digariskan oleh Rasulullah s.a.w dalam menyambut hari raya aidilfitri. Bukan sahaja untuk mendapatkan kesempurnaan dalam ibadah, namun dapat menjaga keberkatan dan suasana hari raya disambut dengan baik tanpa meminggirkan faqir miskin atau anak yatim sepertimana amalan yang dituntut pada bulan Ramadhan.

Adab Sambut Hari Raya Aidilfitri

1. Bertakbir

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah.

Firman Allah S.W.T :

“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.”

Surah al-Baqarah:185.

Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri.

2. Lafaz Ucapan Selamat Pada Hari Raya Aidilfitri

Termasuk dalam adab berhari raya ialah menyampaikan ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik seperti ucapan:

  1. تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ – Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan anda semua).
  2. عِيْدُ مُبَارَكْ – (Selamat) hari raya yang diberkati.

Atau ucapan yang seumpama dengan di atas yang terdiri dari ungkapan-ungkapan tahniah yang dibenarkan. Jubair bin Nufair berkata: “Para sahabat Nabi saw apabila mereka bertemu sesama mereka pada hari raya mereka mengucapkan تُقُبَِّلَ مِنَّا وَمِنْكُمْ , Ibnu Hajar berkata: Isnad (riwayat ini) Hasan. [Fath al-Bari: 2/446].

3. Mandi Sunat Hari Raya

Imam Malik rh meriwayatkan sebuah hadis di dalam al-Muwatto’ (الموطأ)

أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى

Maksudnya: “Sesungguhnya Abdullah bin Umar akan mandi pada pagi hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat hari raya.”

Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.

4. Makan Sebelum Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri

Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ .. وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya  Rasulullah saw tidak keluar pada pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar… dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR Al-Bukhari: 953].

Sekiranya tidak ada tamar, makanlah sesuatu yang harus dimakan.
Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani mengulas hadis ini dengan berkata:

“Ini kerana untuk mengelakkan (anggapan) adanya tambahan dalam berpuasa, ianya juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah swt (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut).” [Fath al-Bari: 2/446].

5. Memakai Pakaian Yang Indah

Daripada Jabir ra. katanya: “Nabi saw mempunyai satu jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” [Sahih Ibnu Khuzaimah: 1765].

Demikian juga al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang sahih, bahawa Ibnu Umar sentiasa memakai pada hari raya seindah-indah pakaiannya.

Memakai pakaian cantik pada hari raya ini adalah untuk kaum lelaki. Adapun untuk kaum wanita mereka boleh mengenakan pakaian yang biasa (disebelah luar/atasnya) seperti sabda Nabi saw:

لا تَمْنَعُوا إِمَاءَ اللَّهِ مَسَاجِدَ اللَّهِ، وَلَكِنْ لِيَخْرُجْنَ وَهُنَّ تَفِلاتٌ

Maksudnya: “Jangan kamu tegah hamba perempuan Allah dari masjid Allah, tetapi hendaklah kaum wanita keluar dalam keadaan meninggalkan wangian” [HR: Ahmad dan Abu Daud “Sahih”].

Keluar dengan berpakaian biasa diluar dan tidak ertabarruj berhias dan mengenakan wangian yang boleh dihidu baunya oleh lelaki ajnabi.

6. Berjalan Kaki Menuju Ke Tempat Solat

Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:

“Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.

Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.

7. Menggunakan Jalan Yang Berbeza Ketika Pergi Dan Pulang Solat Sunat Hari Raya

Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:

“Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:

“Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya.

Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu.

Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.”

Rujuk Zaadul Ma’ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.

8. Bergembira Pada hari Raya

Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari raya Aidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi.

Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:

“Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati.”

Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:

“Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.”

Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.

9. Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.”

Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.

10.  Wanita Uzur Keluar Menyaksikan Solat Hari Raya

Para wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah Nabi saw. Dari Umm Atiyyah r.’anha katanya:

“Kami disuruh oleh Nabi saw untuk mengeluarkan mereka (semua wanita) pada hari raya al-Fitri dan al-Adha; wanita yang baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid iasingkan daripada tempat sembahyang.”

11. Menunaikan Zakat Fitrah

Nabi saw menyuruh membayar zakat al-Fitr sebelum solat hari raya. Harus mengeluarkannya sehari atau dua hari lebih awal berdasarkan hadis Ibnu Umar r.’anhuma yang diriwayatkan oleh al-Bukhari:

 وكانوا يعطون قبل الفطر بيوم أو يومين

Maksudnya: “Adalah mereka (sahabat Nabi saw) mengeluarkan (zakat al-Fitr) sebelum hari raya sehari atau dua hari.”

Sesiapa yang menunaikan zakat fitrah selepas solat hari raya maka ia tidak dikira sebagai zakat fitrah berdasarkan hadis Nabi saw daripada Ibnu Abbas r.’anhuma:

من أداها قبل الصلاة فهي زكاة مقبولة، ومن أداها بعد الصلاة فهي صدقة من الصدقات

Maksudnya: “Sesiapa yang membayarnya (zakat fitrah) sebelum solat (hari raya), maka itulah zakat fitrah yang diterima, dan sesiapa yang membayarnya selepas solat, maka ianya hanya sekadar sedekah dari sedekah yang lain.”

Maka berdasarkan hadis ini haram hukumnya melewatkan membayar zakat sehingga selesai solat hari raya tanpa sebarang keuzuran. Jika dia terlewat disebabkan keuzuran seperti orang yang dalam perjalanan (musafir) yang tidak memiliki wang atau tidak mendapati orang yang boleh diberikannya zakat, dia boleh mengeluarkannya selepas daripada solat hari raya disebabkan dia termasuk orang yang mempunyai keuzuran.

19437281 1822771467749548 1440252810307386896 N

Kesimpulan

Hari Raya adalah hari bergembiran buat seluruh ummat Islam. Tapi, hakikat hari raya kini adalah amat berbeza. Kegembiraan hanyalah kepada mereka yang berkemampuan, memiliki harta dan keluarga.

Bagi faqir miskin dan anak yatim, hari raya adalah hari kesedihan buat mereka kerana pada waktu itulah orang yang berkemampuan akan mempamerkan hartanya. Si anak yatim beraya keseorangan tanpa ibu atau ayah.

Justeru itu, selain daripada kita mengejar kesempurnaan dalam menyambut Hari Raya, jangan dilupa pada faqir miskin dan anak yatim kerana mereka adalah insan yang dicintai Oleh Rasulullah. Bersederhanalah dalam menyambut Hari Raya agar hakikat Hari raya yang sebenar dapat dizahirkan dan dirasai oleh semua ummat Islam terutamanya anak yatim dan faqir miskin.

Putih Melati

Karya melambangkan jiwaku

More Posts - Facebook

Tags: #Adab Sambut Hari Raya Aidilfitri #Bertakbir #Makan Sebelum Solat Hari Raya #Mandi Sunat Hari raya #Pakaian Yang Indah #Pergi dan Balik menggunakan jalan Yang Berbeza #Solat Sunat Hari Raya

Doa Munajat Ramadhan : Versi Rumi
Doa Munajat Ramadhan Ya Allah Ya Tuhanku! Aku bertaubat kepadaMu dengan sebenar-benar taubat.
4 Sifat Menghalang Ibadah Diterima Allah ; Ujub, Riak, Takabur, Sum’ah
Berhati-hati duhai sahabatku dalam kehidupan ini. Ramai manusia yang mengerjakan ibadah, namun dicampakkan
7 Perkara Sebab Amalan Di Tolak Oleh Allah
Sesungguhnya kehidupan seseorang hamba dinilai berdasarkan sejauh mana ingatan seseorang itu kepada Allah.
Wafat Siti Khadijah Buat Nabi Muhammad Sedih Pada 11 Ramadhan
Pengenalan Khadijah binti Khuwailid (555 M – 619 M) adalah isteri pertama Nabi Muhammad s.a.w. Khadijah

Leave a reply "Adab Sambut Hari Raya Yang Mudah Di Ikuti"