Ibubapa memainkan peranan penting bagi persediaan anak-anak memasuki Tahun 1 di sekolah.
Selain daripada persediaan dari aspek material dan wang ringgit, jangan dilupa akan kemahiran pergi ke tandas, cara berbelanja di kantin dan sebagainya.
Hal ini supaya kanak- kanak tersebut dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah yang baru dan asing untuk mereka.
Jom kita kenali antara kemahiran asas yang perlu ada pada kanak-kanak sebelum memasuki Tahun 1 daripada poster ini.
kredit : PERMATA kurnia
1) Kemahiran ke tandas
Kanak-kanak yang menguasai kemahiran ke tandas seharusnya:
- bebas daripada bergantung kepada lampin pakai buang.
- dapat berjalan ke tandas secara berdikari.
- dapat menahan kencing selama 1 hingga 2 jam.
- dapat duduk dengan seimbang di tandas selama 2-5 minit.
- boleh menunjukkan keinginan ke tandas melalui perubahan ekspresi muka dan gerak tubuh.
- dapat menggunakan tandas mengikut langkah yang betul seperti membuka seluar, duduk dan kencing, cuci, pam tandas, pakai seluar dan cuci tangan.
2) Kemahiran komunikasi awal
Kemahiran meminta penting sebagai persediaan ke sekolah. Ini membolehkan kanak-kanak untuk meminta kehendak dan keperluan mereka kepada orang sekeliling. Ianya penting bagi mengelakkan tingkah laku negatif seperti menangis dan menjerit kerana inginkan sesuatu atau perhatian daripada orang sekeliling.
3) Tiada tingkah laku negatif
Kanak-kanak boleh mendengar arahan guru tanpa menunjukkan tingkah laku negatif seperti menjerit, menangis dan mengamuk.
“Jangan sesekali mengalah wahai ayah dan ibu! Teruskan menghantar anak-anak ke sekolah meskipun mereka enggan atau menangis sejak dari rumah lagi. Tindakan kita hari ini akan menentukan tingkah laku anak – anak pada keesokan harinya dan hari-hari yang berikutnya.” kata guru besar.
kredit : EncikPenyu.blogspot
4) Kemahiran patuh arahan
Kanak-kanak yang menguasai kemahiran ini mampu untuk:
– mengikut arahan yang diberikan.
– tidak menjerit atau mengelak apabila disuruh melakukan sesuatu.
Apabila kanak-kanak mempunyai kemahiran ini kebiasaanya akan disukai oleh guru dan kawan-kawan. Sikap ini akan menjadi teladan buat rakan sekelas dan kebiasaanya akan dilantik oleh guru sebagai pengawas.
“Hasilnya, murid ini akan mempunyai keyakinan level yang tinggi dan berpotensi menjadi pelajar cemerlang.” kata guru.
5) Kemahiran siapkan tugasan:
Dengan menguasai kemahiran ini, setiap tugasan dapat disiapkan oleh kanak-kanak tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Apabila kanak-kanak memiliki kemahiran-kemahiran asas ini, mereka dapat memasuki alam persekolahan dengan lebih baik.